SAYA DAN ALMARHUM
Tahun 2001 kalau tak silap, itulah pertama kali saya buat persembahan utk Tuanku Sultan Pahang (Almarhum). Satu daripada lagunya “Menghilir Sungai Pahang”. Habis persembahan Tuanku mencemar duli ke pentas dan bertitah bahawa baginda sangat suka dengan persembahan itu. Tak lama lepas itu saya diberi tanggungjawab sebagai pengurus acara perasmian stadium Temerloh, baginda kelihatan gembira dan masih ingat tentang persembahan saya.
Baginda sultan memang pengingat dan bila baginda suka, baginda akan selalu menyebut perkara itu. Selepas dua persembahan itu baginda berpesan kepada YB Dato’ Sarip Ahli Parlimen supaya saya diberi borang untuk anugerah pingat. Saya enggan mengisi borang itu, tapi bila Dato Sarip sebut titah Tuanku, saya isi jugalah borang, dan pertama kali saya diberi sebutir pingat (sehingga ini 3 anugerah kebesaran diberikan).
Sejak itu, dalam banyak acara diRaja saya seringlah diundang. Peristiwa yg saya tak boleh lupa ialah persembahan di Sekara Chenor. Masa itu saya berambut agak panjang dan menyikat lurus ke belakang. Ketika baginda naik pentas untuk menyanyi (baginda suka menyanyi), saya segera beredar untuk turun. Kerana abah pernah pesan, bila ada raja selagi boleh usahlah menonjol diri, tapi kalau baginda dah pandang kenalah angkat sembah. Oleh kerana baginda macam tak kenal saya, maka saya pun turun (lari).
Tapi seorang pegawai meminta saya jangan turun utk temankan Tuanku menyanyi. Nak tak nak saya melangkahlah ke sisi baginda “Koi tak perasan ke awok tadi” Saya tak berapa dengar sangat titah baginda itu. Tapi yang saya dapat tangkap, baginda tak perasan sebab rambut saya sikat ke belakang, mungkin muka saya berubah tak berjambul macam biasa. Malam itu saya menyanyi bersama baginda (sambung senikata yg baginda tak ingat), sambil tangan baginda di atas bahu saya.
Sejak itu banyaklah lagi acara saya untuk baginda. Tapi saya tahu, ada juga usaha menjauhkan saya dari baginda. Masa Ulang Tahun ke-80 baginda, saya dah siapkan satu lagu khusus, dan akan dinyanyikan ketika kek ditolak masuk oleh ketua-ketua kampung. Tapi masa rehearsal lagu saya ditolak, digantikan dengan lagu Inggeris Congratulations. Dipendekkan cerita, saya tak performlah di balairong malam itu.
Tapi Tuhan Maha Kaya. Dalam satu acara di Felda Purun, saya ambil kesempatan menyanyikan lagu tersebut. Habis menyanyi saya lihat Tuanku menunjukkan isyarat dengan mengangkat ibu jarinya tanda suka. Hati saya puas kerana lagu itu dapat juga dinyanyikan khas untuk baginda. Dan tahulah saya segelintir pegawai itu sama ada takut atau sengaja tak mahu lagu-lagu tradisional dinyanyikan di depan sultan.
Banyak lagi cerita menarik sepanjang saya mengadakan persembahan untuk Tuanku semasa hayatnya. Penuh dengan amaran oleh pegawai2, dan kadang-kadang menakutkan saya. Pada hal tuanku, termasuk YAM Tengku Muda dan YTM Tengku Mahkota (sekarang Agong) sangat meminati persembahan tradisional.