SYAIR DENDAM KASIH
Dendam apakah di dalam hati,
Sampai bertarung hidup dan mati,
Nyawa menjadi galang ganti,
Persahabatan tak dihormati.
Konon Hang Tuah punca segala,
Hingga Hang jebat bangkit membela,
Tamin Sari maharajalela,
Mengamuk menikam bagai menggila.
Tun Teja puteri jauhari,
Luka mendalam di sanubari,
Cintanya musnah tercucuk duri,
Maruahnya terkulai di istana puri.
Mat Kilau pahlawan pahlawan perkasa,
Seluruh hidunya berbuat jasa,
Kata-katanya emas selaksa,
Demi agama nusa dan bangsa.
Muda pendekar fikir olehmu,
Masa depan anak cucumu,
Pertelingkahan elakkan olehmu,
Kelak musnah salasilahmu.
Ambil iktibar dari sejarah,
Bebatlah luka daripada berdarah,
Nasib bangsamu yang sudah parah,
Kerana lalai watan dijarah.
Berbeza pandang perkara biasa,
Jangan sampai rosak binasa,
Cubit peha kanan peha kiri terasa,
Persaudaraan jagalah sentiasa.
Dengarlah ini hamba sampaikan,
Pesan datuk nenek hamba panjangkan,
Bukan mengajar bukan menyusahkan,
Demi tanah air yang kita wariskan.
Dikarang & didendangkan oleh:
Roslan Madun, Maestro Syair Nusantara
dalam teater Dendam Kasih
10 & 11 April 2021 di Panggung Bandaraya