SESAL KEMUDIAN KEBINASAAN
Di sebuah negeri tak bernama
setelah bergelimpangan mati sekalian jelata
kerana diserang ungas entah dari mana
Menteri perdana pun berdatang sembah
di hadapan rajanya
“Ampun tuanku!
negeri kita telah ditimpa bencana
teramat buruk akan akibatnya”
Raja pun teramat murka lalu bertitah
ingin mengetahui apa puncanya
“Kalau sudah demikian nasib rakyat beta
kerahkan bala tentera
untuk menghapuskan segala petaka”
menteri perdana itu terkedu tanpa jawapan
semua tentera telah pun terkorban
yang tinggal hanyalah beberapa orang kanan
Raja teramat hairan lalu bangun dari peterna
sejurus memandang ke luar jendela
nampaklah baginda akan ungas-ungas
yang sebelum ini tak pernah kelihatan
bergerombolan mahu menyerang istana
Disuruhnya tutup pintu istana serta merta
tapi beberapa ekor ungas telah masuk
mengepung menteri perdana
lalu dikerjakan sehingga berlumuran darah
memancut-mancut dari badan
oleh kerana daulat raja masih berbisa
tiadalah berani ungas-ungas menyerang baginda
akan menteri perdana tinggal nyawa-nyawa ikan
merayu minta pertolongan
tetapi tak lagi diiendahkan
Sebelum Raja meninggalkan balairong
sempat baginda bertitah:
“Sesal dahulu pendapatan
sesal kemudian kebinasaan”
Edit dan repost
RM – Tampin
25.1.2021