SYEIKH ABDUL QADIR AL-JILANI
Binar matamu menikam mataku yang berdosa
aku mencari terang dalam terang
ketika aku meninggalkan walang
ada permata yang hilang
tanganmu yang karomah
di atas ubun-ubunku letakkanlah
gelegaknya nanti sejuklah
kau wali Allah penuh keajaiban
lahir 1 Ramadan
dari puteri Abdullah Al-Sumai’i
ahli makrifat yang sufi
ayahmu Al-Jilani Abu Salih Musa al-Hasani
keturunan nabi
cemburulah aku
kalau bukan dari jalurmu salasilahku
tasawuf adalah padang yang luas
bertemu atau terlepas
inilah aku menjejak telapak kakimu
yang berbekas di lopak pencarianku
seperti baru kejadian
kau tertidur di depan padepokan
di tengah malam deras guyuran hujan
Syeikh Hammad bin Muslim ad-Dabbas
tangan ghaibnya membawa kau ke situ
akhirnya menjadi guru
telah kubancuh hidupku yang malang
sarap dan sampahnya kubuang
kuterlihat matamu memandang
namun tanganmu tak dapat kupegang
Syeikh Abdul Qadir al-Jilani
datanglah dalam mimpiku di malam Ramadan
aku ini pengumpul pertanyaan
perlukan jawapan
kerana aku pendosa
yang hina di sisi Maha Esa
di kebun Ramadan
aku bertanam harapan
@Roslan Madun
18.4.2021 – 6 Ramadan