TEATER PUISI ‘MASIHKAH KAU MENIUP SERULING’, DEJAVU KEPADA SAYA
Oleh : Roslan Madun
Teater puisi “Masihkah Kau Meniup Seruling” dejavu yang sangat peribadi. Tahun 1984 ketika bertugas sebagai wartawan di Karangkraf Taman Tun Dr. Ismail, banyak hari saya tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya singgah di Panggung Drama Jalan Bandar untuk latihan teater “Jiwa Merdeka” arahan cikgu Mustapha Noor. Latihannya bukan seminggu dua. Pulangnya lewat malam ketika isteri dan anak sudah tidur.
Anak saya sedang membesar hidup susah di kota metropolitan yang mengiggit. Tanpa pengorbanan Allahyarham isteri saya, Saripah Rosilah yang berkerja di Telekom Jalan Pantai Baru, yang lebih mahal gajinya daripada saya, tentulah saya sangat tersiksa dengan gaji saya hanya RM400 sebulan. Namun itulah kehidupan. Saya dihalalkan olehnya, memilih seni terkadang lebih utama daripada keluarga.
“Ya, saya bukan family man secara nyata, tetapi di dalam hati Allah saja yang tahu betapa sayangnya saya kepada keluarga kecil saya yang hidup merempat di Kuala Lumpur”
Kami hidup dalam kesempitan dan berpindah randah. Saya sepatutnya fokus mencari duit untuk kepentingan keluarga, tetapi dunia seni telah menambat saya. Kerana sejak dari kampung saya sudah berteater. Malah saya mengenali isteri saya juga melalui teater.
Saudara tataplah anak bogel kami
Sekecil itu dilambung topan perjuangan
Kuku penderitaan yang tak mengenal ampun
Hari-hari esoknya yang ngeri dirasakan kini
Hari-hari esoknya yang ngeri satu jenerasi
…..
(ejaan asal)

Dialog Syafiq Ahmad di atas, dari puisi “Teluk Gong” Usman Awang itu sebenarnya adalah sama dengan penderitaan masa lalu saya. Hidup miskin di tengah pembangunan pesat ibu kota.
Bila Fiqa Harun melontarkan “Kubunuh Cinta’ Anis Sabirin, sebenarnya itu juga sama dengan suara batin saya yang lama tersimpan.
Kububuh cinta dalam hatiku
Pisau tajam berkilau
Darah pancut merah-merah
Aku menjerit
Ketawa dalam kepedihan
Cintaku terkulai merah
Gigil kian lemah
…..
Anis Sabirin memberi makna tentang korban cinta demi kemerdekaan. Tapi puisi ini turut memberi makna dalam kehidupan saya, saya yang banyak menyimpan rasa cinta di dalam jiwa, tidak meluahkan cinta kepada isteri dan anak-anak.
Saya memilih bersuara lantang dalam seni dan sastera dengan harapan suatu hari dapat berkongsi pengalaman meskipun sedikit kepada anak bangsa saya. Sampai sekarang saya tidak pasti apakah ia satu kesilapan dengan melebihkan kerja seni daripada kepentingan keluarga. Jika ia dinamakan kekesalan, puisi saya ini mewakilinya.
ingin kubeli setangkai pengalaman
dari pohon silam yang rimbun
ingin kupetik sejambak rindu
dari dahan ingatan yang jauh
ingin kuminum secangkir kasih sayang
dari kolam rindu yang jernih
ingin kulayari bahtera cinta
di laut hayat tanpa bergelombang
ingin kugapai puncak bahagia
di langit harapan yang bernyala

Puisi ini dimainkan oleh Fiqa Harun dengan dengan sangat beremosi. Kalau saya berada di Balai Budaya Tun Syed Nasir ketika itu, pasti pecah hati saya, menonton secara live di telefon bimbit pun sangat menggetarkan jiwa saya mengenang isteri yang sudah pergi buat selama-lamanya.
Teater puisi “Masihkan Kau Meniup Seruling” adalah kesinambungan dari teater “Jiwa Merdeka” yang saya mainkan 40 tahun dahulu. Saya menyertai The Drama Centre, dari tujuh puluh lebih datang ujibakat, saya di senarai terakhir dua puluh orang peserta diterapkan method Stanislavski, yang diejak-ejek oleh beberapa kawan teater lain ketika itu.
Mustapha Noor menyusun 105 buah puisi karya penyair tanah air menjadi naskah teater puisi “Jiwa Merdeka” yang sangat nostalgik bagi saya. Teater pertama yang saya lakonkan setelah berhijrah ke Kuala Lumpur tahun 1982. Selain saya, turut diberi watak ialah Abdul Rahman Adnan, ND Lala, Rashid Rahim, Rosnah Mat Aris dan Ismail Yaacob.
Mementaskan teater “Masihkan Kau Menuip Seruling” merupakan peluang untuk saya mengumpulkan pelakon-pelakon kesukaan saya. Mereka anak-anak inde yang saya perhatikan sangat hebat di black box dan panggung yang ada sekitar Kuala Lumpur.
Fairul Pujangga, Fattah Fawzy , Ana Natasha Romanoff, Nadhilah Suhaimi, Azwan Ahmadi, Ard Omar, Syafiq Ahmad dan Fiqa Harun adalah pilihan yang tepat.
Fattah Fawzy dan Ana Natasha, yang bermain puisi Baha Zain “Rayuan Wanita Asia” sangat dramatik.

What else can I give
All frangipanis wilt in the fire of the blasts
You have filled all wombs
With your dollars
With your V.D
What else
What else
You have left me
Heir to germs and destruction
Let me be
The prostitute at the hotel embassy
She cries
‘He Jo, gip me your dollar
Not your napam, not yor gonoria’
Kedua mereka memberikan seluruh kekuatan dan didramatikkan lagi oleh Nadilah Suhaimi untuk adegan tersebut. Nadhilah Suhaimi sang juara deklamasi puisi kebangsaan dan pelakon wanita terbaik festival teater membuat ramai penonton sebak, terutama ketika monolog puisi “Harga Sejarah” Sasterawan Negara Rahman Shaari

Fairul Pujangga dan Ard Omar saya berikan beberapa puisi yang menurut saya cocok untuk mereka bermain sinis. Puisi “Budak Tua” Agi Ghafar Ibrahim dan “Songsang” Latif Mohidin diekspresikan dengan baik. Syafiq Ahmad saya khususkan puisi-puisi bertemakan perjuangan dan cabaran. Ianya mudah bagi Syafiq kerana kami pernah berkerja sama-sama sebelum ini.

Tetapi saya ternanti-nanti lakonan Fiqa Harun dan Azwan Ahmadi. Meskipun saya pernah melihat mereka bermain bagus di atas panggung sebelum ini tetapi keduanya belum serasi cara saya berkerja. Lebih-lebih lagi saya meletakkan Fiqa Harun sebagai watak utama teater ini. Dialah peniup seruling yang gelisah, dan dialah perempuan yang kembali kepada fitrah.
Keresahan saya terubat bila adegan cinta mereka berdua nampak realistik, tidak mengada-gada, tidak berlebihan, tetapi penuh emosi dan menyengat kalbu. Kerana sebelum naik panggung saya berpesan, bahawa ini bukan cinta murahan. Ini cinta paling agung dalam hidup manusia. Antara diri peribadi dan tanah air yang berdaulat. Mereka berdua lulus cemerlang.

Fiqa Harun diperkuat oleh penampilan sangat bertenaga Sasterawan Negara Dato’ Zurinah Hassan yang pertama kali naik pentas sebagai pelakon. Saya sendiri terpaku melihat kewibawaannya. Bukan kerana puisi “Masihkah Kau Bermain Seruling” itu karya beliau sendiri, tetapi beliau sangat jujur menyempurnakan kehendak saya sebagai pengarah.

“Akak tak boleh pegang kertas, akak sekarang adalah pelakon, tak perlu ucap apa-apa, tak perlu sebut terima kasih dan menunduk sebaik habis puisi yang dilakonkan” kata saya masa rehearsal.
Sebiji dilakukan seperti yang saya mahu. Meremang bulu roma saya sambil air mata bergenang menyaksikan lakonan yang berkesan, kerana patuh taatnya kepada kehendak naskah walaupun beliau seorang tokoh. Saya sangat terharu.
Dalam adegan kesibukan kota yang dihinggarkan oleh berbagai latar manusia, Man Kayan memberikan gambaran sikap mereka memilih untuk tidak terpengaruh dengan syurga dunia melalui lagu “Terasing” puisi karya saya sendiri. Kumpulan Gagak D’ Rimba turut memberikan warna kepada teater ini dengan lagu-lagu bertemakan Kuala Lumpur.

Shafa’atussara Silahudin menutup teater ini dengan lagu “Tuhan” puisi Chairil Anwar lagu ciptaan Zubir Ali yang digubah semula muziknya oleh Amir Atan, sungguh syahdu. Sebelum itu Mubarak Majid dan Ana Natasha memberi jawapan kepada pertanyaan jiwa keliru Fiqa Harun, yang kembali bermain seruling, kemudian bermonolog;

Maafkan aku kerana mengunci pintu
Dan menutup hatiku
Dalam dingin subuh itu
Tak terdengar suaramu
Menyapa seperti selalu
Dua suara muncul menghampirinya, dengan berpakaian serba putih, suara itu memberikan tafsiran kepada semua masalah dunia yang menguggat keharmonian jiwa manusia lewat puisi “Berdiri Di Pengkalan” Zurinah Hassan;
Aku telah berdiri di pengkalan
Melepaskan satu demi satu
Perahu
Ke sungai usia
Ke laut kehidupan
Di pengkalan itu akau berpesan
Berhati-hati-hati
Pilihlah pelabuhan terbaik
Perahumu hanya satu
layarmu jangan tercarik
…..
Teater ini dinokhtahkan dengan puisi “Bunga Di Kolan” Zurinah Hassan;
Kita sepatutnya belajar
Dari bunga-bunga di kolam
Yang tidak pernah tenggelam
….
Arus tak selalu tenteram
Sungai tak selalu jernih
Mari belajar dari bunga-bunga di kolam
Yang mengapung dan bersih.
Sebagai pengarah dan penyusun puisi bersama isteri Aminah Binti Mokhtar, teater “Masihkah Kau Meniup Seruling”, teater yang sama konsepnya 40 tahun lalu, saya bersyukur kerana teater ini dapat pula dinikmati oleh ketiga-tiga anak saya Nur Budiman Roslan,Imillya Irwani dan Puteri Roslan bersama cucu-cucu saya, meskipun umi mereka telah tiada.
Sokongan teman-teman rapat yang datang menonton, dan kehadiran tak terduga Tan Sri Shafie dan Sabera Shaik kawan arwah cikgu Mustapha Noor, mengubat luka hati saya. Paling bahagia walaupun menonton dari jauh, ialah kesudian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Hazami Jhari serta CEO Finas, Dato Azmir yang rushing dari Pulau Pinang.

Terima kasih DBP, terutama Aris Othman, terima kasih Khalil Hj Saleh dan Wan Shima PROFIMA dan barisan jawatankuasanya, terima kasih Akademi Syair Melayu Nusantara, dan semua yang datang menyokong.
Tahniah kepada tiga penerima anugerah, iaitu Misnin Ehsan, Anugerah Khas Karyawan Virtouso, Dr. Lenny Erwan, Anugerah Khas Cendekia Seni (Teater) dan Dato Azmir, Anugerah Khas Cendekia Seni (Filem).
Setia Ecohill
17/12/2024
Album penuh pementasan di sini: