PELAJARAN BAHAGIA
Aristoteles
katamu, bahagia itu suatu kesenangan
dapat digenggam atas keinginan sendiri
matlamat setiap peribadi
dengan kepercayaan ia tetap anugerah Allah
atas pilihan-Nya
bahagia yang dimiliki boleh jadi
orang lain tidak merasai
Kata Hendrik Ibsen seperti aneh pula
memburu bahagia itu mensia-siakan usia
kerana jalannya rapat tertutup
perjalanannya dekat kepada jurang yang jauh
setiap kali melangkah mencari bahagia
jalan ditempuh makin menjauhkan kita
hakikat bahagia tidak ada
Bahagia yang diborong untuk diri sendiri
menganggu bahagia orang lain
kata Leo Tolstoy
mencari bahagia bukan memberi keuntungan
tapi membawa kerugian bersama
carilah bahagia untuk bersama
sama rindu sama memburu sama mengapainya
bahagia tidak menjelma
dalam hidup yang gelap tanpa nur
dan hidup gilang gemilang
ialah kerana sanggup berkorban, katamu
Kelebihan manusia dari sesetengah mereka
dengan akal, Sabda Nabiku
tiga bahagian akal elok sempurna
makrifat dengan Allah
tunduk taat pada-Nya
sabar dengan ketentuan
bahagia manusia berpangkal daripada darjat akalnya
dapat membezakan baik dan buruk
pahala dan dosa
Jagalah akal
bahagia nescaya kekal
Roslan Madun
27.1.2021
Sri Ramal