SEON-U ii – DI TANGANMU NYALA API
Kau pun menjadi halilintar
memanah tiang asmara
Tae-Oh dan Da-Kyung
pecah dan condong
hujan panas seperti tak akan teduh
dingerikan oleh ledakan guruh
Seon-U, kau memakai baju dendam
dari pagi ke petang
ke malam yang panjang
matamu yang tajam mengancam
di tanganmu menyala api
untuk membakar palsu janji
di rumahmu sendiri
Kata-kata sudah tak berharga
sumpah bertukar petaka
senyuman jadi racun berbisa
membunuh segala puja
kau wanita tercabar
kini lebih lelaki dari seribu pendekar
kerana dikhianati
kau jadi terlalu berani
RM
8.2.2021
