
SAYA DAN ALMARHUM – ABAH USIK TUANKU MASA TAWAF (Catatan 2)
Habis persembahan di Kampung Pamah Kasih itu, Dato’ Shahiruddin Moin Adun Dong tiba-tiba menelefon saya “Lan, apa yang awak buat sampai Tuanku menangis?” Saya terkejut dengan pertanyaan itu. “Mana saya tahu” saya jawab ringkas. “Tadi awak buat persembahan apa?” tanya YB lagi. Baru saya teringat, saya baca sajak tentang Tuanku mengharungi banjir menemui rakyat. Antara bait-bait yg saya ingat… Entahkan santap entahkan tidak… entahkan beradu entahkan tidak… kehidupan rakyat diambil berat…
Tuanku memang mudah menangis, sebab itu ketika baginda gering, saya mohon perkenan YAM Tengku Muda untuk membuat persembahan syair khusus bagi menghiburkan Tuanku di Istana tanpa penonton. Tapi permohonan saya itu tidak dapat diperkenankan, saya faham sangat, tentu baginda akan sedih, kerana bila saya baca sajak atau buat sketsa untuk Tuanku, memang baginda akan menikmatinya penuh emosi. YAM Tengku Muda juga pernah bertitah (bercakap pada pegawainya bila nampak saya nak buat persembahan) “Dengan Roslan ni, inilah yang koi tak tahan ni” Maksudnya baginda tak tahan sebak. Saya banyak mendapat maklumat dari kawan yang rapat dengan istana tentang saya.
Kenapa saya buat persembahan sehingga baginda menangis. Abah saya pesan : dengan raja ni jika buat persembahan biar sampai dia terasa, biar sampai dia sebak. Tapi ingat, depan raja jangan sengaja-sengaja pergi ke depan supaya dia nampak kita. Kerana raja ni dia ada mood juga, kita kena tahu baca situasi, kalau tangan dia ke belakang itu tandanya mood tak baik, kalau tangan dia berlenggang bolehlah bergurau (baginda memang suka bergurau, tapi orang tertentu saja berani). Saya pegang kata-kata abah, sebab itu saya akan berdiri jauh di belakang ketika orang bersesak-sesak menyambut baginda.

Abah pernah bergurau dengan Tuanku masa tawaf di depan Kaabah. Bila Abah nampak baginda tawaf diiringi oleh pengawal-pengawal, abah sengaja mengusik “Tawaf pun pakai pengiring?”. Tuanku senyum menjawab “Dia orang nak iring, bukan koi suruh”. Satu lagi kenangan lucu arwah Abah, masa Tuanku pinkan pingat di majlis anugerah di balairong, tetiba pin pingat itu patah, abah pun terus mengusik “Kalau bagi pingat besar sikit taklah patah”. Baginda memandang ke lain kerana tak tahan nak gelak. Abah dah nekad, kalau MB tanya “apa yang Tuanku borak dengan Abah” Abah nak jawab “Tuanku suruh awak (MB) beri kawasan balak”. Nasib baliklah MB tak tanya. Kalau tanya memang nayalah…
Untuk persembahan memang saya tulis skrip atau sajak dengan kajian terperinci. Saya tak mahu buat persembahan selingan macam artis lain. Kalau nak panggil saya, saya minta buat persembahan pembukaan ketika baginda mula duduk sekitar 10 minit saja, lepas itu silakanlah penyanyi lain buat persembahan sampai pagi pun ok. Tapi 10 minit itu saya akan demand banyak benda, misalnya kumpulan silat, kumpulan gendang Pahang dengan busana yang lengkap, yg pasti semuanya tradisional. Itu yang baginda dan keluarga baginda suka sebenarnya.
Tapi tak semudah itu untuk dapat laluan, pegawai-pegawai akan datang menyoal kita seolah-olah kita ni orang salah pulak (bukan semua, ada pegawai yg baik dan faham). Lucunya bila baginda suka persembahan kita, pegawai ni corner pulak. Ada satu acara tu dia orang minta saya selitkan satu persembahan yg tak ada dalam senarai saya “Mana boleh, persembahan saya ada running order dan ikut kronologi, bukan sekadar menyanyi atau baca sajak, tapi ada storyline”
Hubungan saya dengan istana masih ok, terutama dengan YAM Tengku Muda. Kalau saya whatsapp, dia balaslah juga walaupun dgn sepatah kata. Bila saya ada dalam majlis, YAM Tengku Muda ni memang hulur tangan. Tapi saya ni tak reti nak minta itu ini. Paling-paling pun saya pernahlah minta sponsor terbit buku untuk kos cetak. Tak lama lepas itu pegawai dia menghubungi saya “lulus” katanya. Tapi baginda gelakkan saya, sebab saya minta tak lebih harga sebenar, ada sen-sen lagi. Patutnya genapkan je lah… Manalah saya reti, saya minta ikut jumlah sebutharga tulah saja…